feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Pasaran Asia Kembali Merosot

Labels:

Pasaran saham Asia kembali merudum hari ini dengan Bursa Shanghai paling teruk mengalami kejatuhan.

Ini merupakan kali pertama pasaran saham Shanghai, yang dianggap kukuh mengalami kejatuhan teruk ekoran kebimbangan berterusan mengenai kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS).

Indeks Komposit Shanghai hari ini jatuh 342.39 mata atau 7.19 peratus kepada 4,419.29 mata, paras penutup terendah dalam tempoh enam bulan.

Kejatuhan di Shanghai itu diikuti oleh pasaran Hong Kong dengan penyusutan Indeks Hang Seng sebanyak 4.25 peratus kepada 24,053.61 mata.

Pasaran saham Asia lain yang teruk terjejas ialah Jepun dengan Indeks Nikkei 225 Tokyo susut 3.97 peratus kepada 13,087.91 mata; Indeks Kospi Korea Selatan jatuh 3.85 peratus kepada 1,627.19 mata; Indeks Straits Times Singapura susut 3.75 peratus kepada 3,344.53 mata; Indeks TWII Taiwan susut 3.28 peratus kepada 7,485.79 dan Indeks Komposit Jakarta Indonesia jatuh 1.47 peratus kepada 2,582.05 mata.

Sementara itu, penanda aras utama pasaran saham tempatan, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) turut mengalami kesan, apabila susut 24.86 mata atau 1.77 peratus untuk ditutup kepada 1,380.54 mata.

Bursa Shanghai jatuh teruk hari ini apabila pelabur beranggapan bahawa kemelesetan ekonomi AS akan menyebabkan penurunan permintaan bagi barangan buatan China.

Ketidaktentuan yang menyelubungi pasaran AS, Eropah dan Jepun, kini telah merebak ke China.

Pelabur di seluruh dunia ketika ini dilihat semakin gusar mengenai kegawatan ekonomi AS, yang bakal menyebabkan penurunan permintaan bagi eksport, justeru menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.



Pilihanraya dan Kesannya Terhadap Pelaburan Anda

Labels:

Bahang pilihanraya makin terasa….namun bagi saya, ianya bukan saja satu peristiwa yang bakal mengubah tampuk pimpinan negara namun ia juga menentukan ke mana perginya arah pasaran modal Malaysia. Sebagai seorang pelabur dalam pasaran modal Malaysia(unit trust), suka kiranya kita melihat rekod kesan pilihanraya umum kepada pasaran saham sejak PRU 1986.








Daripada jadual di atas, didapati pasaran saham adalah bercampur campur untuk PRU sejak 1986 hingga 2004. Namun kita boleh mengganggap bahawa stock market biasanya akan naik sejurus sebelum tarikh pilihanraya sebelum ianya kemudian merosot sedikit pada tarikh pilihanraya. Pasaran saham akan kembali naik ke paras positif dalam jangka masa 3 bulan selepas tarikh pilihanraya.

Dalam jangkamsa terdekat, dijangkakan KLCI akan berada di paras resistant 1,435-1,440 dan support 1384-1380. PRU kali ini dijangka akan memberi impak positif kepada nilai pelaburan anda di dalam pasaran modal.



APA ITU OVERDRAF (OD)

Labels:

OD atau Overdraft facility adalah sejenis pinjaman atau pun loan, tetapi ianya berbeza dengan jenis-jenis pinjaman yang lain seperti housing loan, car loan dan sebagainya. Ini kerana OD sebenarnya adalah satu kemudahan pinjaman yang di 'standby' kan oleh bank dan tidak semestinya digunakan oleh pelanggan....

Ciri-ciri OD :-


1. Mesti digunakan bersama current account atau Akaun Semasa (Guna cek)

2. Selalunya memerlukan cagaran samaada dalam bentuk hartanah atau dalam simpanan tetap. Kalau nak cepat dapat boleh guna simpanan tetap atau Fixed Deposit(FD) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB)

3. Jumlah OD yang diberi bergantung kepada nilai cagaran dan juga kekuatan kewangan pelanggan. Rekod dengan bank juga amat penting. Oleh itu jika anda masih baru dengan bank dan kedudukan kewangan (Dari segi gaji, tanggungan atau keuntungan syarikat) masih lemah dan anda letak Fixed Deposit sebanyak RM10,000 maka anda mungkin dapat sama nilai i.e OD juga RM10,000. Ini dipanggil One To One Basis.
Kalau anda dah lama dengan bank tu, kedudukan kewangan baik, rekod pembayaran pinjaman sebelum itu baik maka anda akan dapat lebih dari apa yang anda cagarkan. e.g anda letak Fixed Deposit RM10,000 mungkin dapat RM20,000 OD.

4. OD ni boleh dipohon oleh pelanggan individu dan syarikat.

5. Persamaan dengan jenis loan yang lain ialah kemudahan ini dikenakan Faedah. Faedah biasanya diletak berdasarkan BLR atau Base Lending Rate. BLR ini merupakan kos untuk bank memberi pinjaman kepada pelanggan mereka.
Oleh itu faedah keatas OD anda mungkin akan dinyatakan dalam bentuk :-

Kadar faedah OD = BLR + 3
kalau BLR semasa ialah 12% maka
Kadar faedah OD anda = 12% + 3% = 15%
Anda juga perlu ingat yang BLR boleh berubah dan jika BLR naik ke 15% maka kadar faedah OD anda juga naik menjadi 18% (15% +3%)

Sila semak juga kadar faedah OD itu dikira bagaimana, sama ada:-

1. Flat rate (Macam pinjaman kereta)
2. Monthly rate
3. Daily rate

Jenis-jenis rate diatas akan mengenakan faedah yang berbeza.So walaupun ketiga-tiga jenis kadar diatas adalah 7% setahun tapi pengiraannya berbeza. Yang paling mahal ialah Flat rate.

6. OD juga boleh digabungkan dengan Housing Loan - Sebagai contoh jika anda ambil pinjaman perumahan sebanyak RM100,000 dan anda dah bayar RM40,000 dan baki pinjaman tinggal RM60,000 maka bank akan bagi anda OD sebanyak RM40,000 tertakluk kepada nilai pasaran rumah anda itu.Ini bergantung kepada bank sebab bukan semua bank menawarkan pinjaman sebegini.

7. Nilai pasaran cagaran anda boleh memberi kesan kepada OD anda - Jika anda gunakan tanah anda untuk mendapat OD sebanyak RM100,000 tetapi di masa hadapan nilai tanah anda jatuh dibawah RM100,000 maka jika anda dah guna sepenuhnya OD anda maka anda kena selesaikan perbezaannya.

Contoh:

1. Amount OD diluluskan - RM100,000
2. Nilai pasaran cagaran - RM90,000
3. Jumlah OD yang anda dah dan sedang guna - RM100,000
4. Jumlah kena bayar serta merta kepada bank - Jumlah OD dah guna - Nilai cagaran
= RM100,000 - RM90,000

Jika anda tak gunakan OD anda hingga maksima maka bank akan turunkan amount OD yang boleh anda gunakan itu.

8. Permohonan untuk OD agak sama dengan loan2 lain terutamanya jika anda menggunakan cagaran dalam bentuk hartanah seperti rumah dan tanah. Jika anda gunakan FD anda atau sijil ASB dan hanya mohon OD sehingga 100% nilai FD atau ASB anda maka permohonan adalah lebih cepat dan mungkin boleh terus diluluskan oleh Pengurus Bank cawangan anda memohon itu. Ini kerana OD anda tu tidak mendatangkan apa2 risiko kepada bank.

Untuk kemudahan OD yang dipakej bersama pinjaman perumahan anda mungkin tak perlu apply kerana ianya diberi secara pakej dengan pinjaman perumahan anda itu.

9. Kadar feadah OD akan dikenakan kepada jumlah OD yang anda gunakan sahaja. Jika tak digunakan tak ada feadah yang dikenakan.

10. Bagaimanapun kebiasaannya bank turut mengenakan Commitement Fee untuk jumlah OD yang tak digunakan. Ini adalah kerana walaupun anda tak guna lansung OD tu tapi bank telah pun 'standby' kan jumlah OD anda itu dan menunggu untuk anda gunakan.

11. Biasanya kadar faedah OD lebih rendah dari kadar faedah kalau anda gunakan kemudahan Cash Advance melalui Kad Kredit.

12. Kemudahan OD juga boleh mengelakkan dari anda mengeluarkan cek tendang sebab jika anda keluarkan cek RM10,000 tapi dalam akaun anda cuma RM8,000, baki RM2,000 yang tak cukup tu akan secara otomatik diambil dari klemudahan OD anda itu.

Kemudahan OD amat berguna jika kita manfaatkanya tapi jangan salah guna sebab sama seperti penggunaan kad kredit ianya boleh membebankan jika terlebih atau tersalah guna.

Kelebihan OD ni ialah ianya satu standby facility dan jika anda tak guna maka anda cuma perlu bayar sedikit sahaja fee untuk maintain the facility dan jika anda sesak nak pakai duit maka anda tak perlu pening-pening nak pakai kad kredit atau lagi teruk pinjam dari Along



Melabur dalam ASB guna loan bank

Labels:

Dari contoh simpanan ASB RM 100,000 yang terdiri dari Deposit RM 5,000 manakala RM 95,000 pinjaman bank mengikut kadar BLR + 0.5% (iaitu 6.9% setahun). Bayaran bulanan RM 731 untuk tempoh 20 tahun.
Seperti yang diiklan, dividen akan diberi terus kpd anda.

Contoh:
Dividen 7% setahun, anda akan dapat RM 7,000 setiap tahun. Boleh dibelanjakan apa saja anda suka dan at the end of 20 years, anda akan terima RM100,000 yang boleh digunakan untuk beli rumah, pendidikan anak dan sebagainya.



Cara A - Gunakan dividen untuk bayar semula pinjaman



Jika dividen 7% setahun atau RM7,000 itu dibayar semula kpd bank untuk mengurangkan baki pinjaman anda, loan ASB anda dijangka selesai dalam masa 7 tahun 6 bulan dengan jumlah pembayaran penuh hampir RM 120,827(termasuk deposit RM5,000 dan dividen RM7,000 yg dibayar semula setiap tahun) Ini bermakna, anda terpaksa membayar RM 120,000 untuk mendapatkan RM100,000 selepas 7 hingga 8 tahun.

Untung atau rugi?

Jika anda labur RM 731 ke dalam ASB setiap bulan selama 8 tahun pun, simpanan anda akan menjadi RM94,260. Campur deposit RM 5,000 yang disimpan utk 8tahun juga, future value adalah RM 8,590. Total nilai pelaburan anda = RM102,850. Dah lebih RM100,000 dah.

Cara B - Belanjakan Dividen setiap tahun & maintain membayar bulanan kpd loan


Bagi loan RM 95,000 untuk 20 tahun pada kadar 6.9%setahun, jumlah pembayaran penuh selepas 20 tahun adalah RM 175,359 (kos) Dengan dividen RM 7,000 untuk 20 tahun = RM 140,000 dan duit ASB selepas 20 tahun =RM 100,000 (+) Duit Yang Diterima => RM 240,000

Secara kasar, nampak macam anda untung sebab anda perolehi RM 240,000 Dalam masa 20 tahun sedangkan kos pinjaman anda berjumlah RM 175,359 shj.

Untung pada mata kasar ==> RM 64,64

Tetapi, bila mengambil kira kesediaan dan keupayaan anda maintain Bayaran bulanan RM 731 selama 20 tahun,anda sebenarnya rugi besar. Ini kerana dengan simpanan RM 731 ke dalam ASB untuk tempoh 20 tahun, Nilai pelaburan anda akan menjadi RM 383,018 ! Ini bermakna,oleh kerana anda ambil ASB loan dari bank, anda kehilangan 'potential gain'.

Total Value jika anda simpan sendiri = RM 383,018
Total gain kalau anda ambil loan = - RM 240,000

Kehilangan Keuntungan> RM 143,018
Siapa yang untung sebenarnya? ==> Bank !

Dengan modal pinjaman RM 95,000, bank terima RM175,359 dari anda sepanjang 20 tahun itu. Ini bermakna mereka untung lebih RM 80,000 dari keuntungan ASB yang anda boleh dapat jika anda simpan guna duit sendiri.

Masalahnya, bank tidak boleh melabur dalam ASB kerana ASB adalah untuk individu bumiputra. Dengan ASB loan, mereka dapat buat untung hasil dividen ASB yang mereka
ambil dari pelaburan anda.

Yang Rugi ==> Anda sebenarnya!!!.

Oleh itu, lebih baik anda simpan ASB menggunakan duit sendiri.


One more thing, kena ingat inflasi akan menyusutkan nilai wang anda...

Katakan ASB bagi dividen+bonus 9% - BLR 6.9% - INFLASI 3.5% = -1.4%!
Anda bukan makin untung..malah mengalami kerugian





Dividen Tabung Haji RM1.05b

Labels:

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji semalam mengumumkan pembayaran dividen berjumlah tujuh peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu, iaitu lima peratus dividen tahunan dan dua peratus dividen khas.

Dividen tahunan itu adalah yang tertinggi sejak 2001, manakala dividen khas kali pertama diberi sebagai menghargai penyimpannya serta hadiah sempena sambutan ke-50 kemerdekaan negara tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata pembayaran dividen tahunan berjumlah RM751 juta dan dividen khas RM300 juta itu akan dimasukkan ke dalam akaun 4.2 juta penyimpan Tabung Haji, Ahad ini.



"Pembayaran dividen kali ini adalah yang terbaik... lebih menarik pembayaran dividen diumumkan pada lima hari bulan dua (5 Februari), iaitu sama dengan jumlah dividen tahunan lima peratus dan dividen khas dua peratus," katanya pada sidang media di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini.

Hadir sama, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Abdullah berkata, Tabung Haji mencatat pendapatan kasar tertinggi RM1.9 bilion tahun lalu, meningkat 59 peratus berbanding RM688 juta pada 2006, hasil prestasi pasaran saham yang amat menggalakkan dengan pendapatan kasar menunjukkan pertumbuhan tahunan purata 25 peratus sejak 2002.

Simpanan terkumpul Tabung Haji pada 31 Disember lalu pula meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM14.7 bilion, 31 Disember 2006.

"Secara keseluruhannya, pada 2007 Tabung Haji menempa sejarah apabila untuk pertama kalinya mencatat keuntungan bersih selepas zakat mencecah RM1.066 bilion," katanya.

Abdullah berkata, sumber utama pendapatan Tabung Haji ialah daripada urus niaga saham yang mencakupi 67 peratus; dividen (15 peratus); pasaran wang (sembilan peratus); hasil sewa (empat peratus) dan lain-lain (lima peratus).

Beliau berkata, Tabung Haji juga berjaya mengawal kos pengurusan pada RM323 juta tahun lalu berbanding RM322 juta pada tahun sebelumnya, walaupun ia membabitkan kos tanggungan langsung haji sebanyak RM35 juta tahun lalu.

"Kos tanggungan haji ini adalah disebabkan kenaikan kos tambang penerbangan dan perumahan di Makkah," katanya.

Abdullah berkata, Tabung Haji memperuntukkan RM37 juta sebagai pembayaran zakat perniagaan tahun lalu berbanding RM27 juta pada tahun sebelumnya.

Sebahagian besar zakat berkenaan akan dibayar kepada Majlis Agama Islam Negeri atau pusat pungutan zakat negeri mengikut kadar simpanan terkumpul bagi negeri.

Ismee ketika ditemui kemudian, berkata Tabung Haji mensasarkan pemberian dividen lebih baik atau sekurang-kurangnya mengekalkannya pada kadar lima peratus untuk tahun depan.

"Memang menjadi konsep kita untuk menyediakan yang terbaik bagi semua penyimpan," katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji juga akan menyediakan perkhidmatan Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) suku kedua tahun ini bagi memudahkan penyimpan mengeluarkan wang.

"Bagaimanapun, kami tidak akan menyediakan ATM sendiri kerana ia membabitkan kos yang tinggi, sebaliknya akan bekerjasama dengan bank lain seperti Bank Islam untuk membolehkan pendeposit kami mengeluarkan wang dari mesin ATM milik institusi kewangan itu," katanya.